BERANG dengan tindakan
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak membenarkan Terengganu mendaftarkan
dua tonggak importnya beraksi, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengancam
untuk menarik penyertaan Terengganu dan T-Team dari Liga M.
Beliau berkata, penarikan
diri itu adalah pilihan terakhir andai FAM masih berkeras dengan keputusan
tidak membenarkan Terengganu menurunkan kedua-dua pemain berkenaan.
“Kami ada tiga pilihan untuk FAM iaitu membenarkan dua pemain import bermain
atau kedua, kerajaan negeri akan ambil tindakan undang-undang terhadap FAM
berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan dan ketiga, bayar ganti rugi sebab kami
sudah keluar belanja untuk kontrak dua pemain itu.
“Senario lebih buruk
lagi kemungkinan besar kami akan tarik semua pasukan daripada Liga M.
“Kalau (FAM) hendak gantung, gantunglah kerana mereka tidak profesional, sebab
kami main bola sepak untuk orang suka-suka, kenapa hendak susahkan orang. Ini
tidak betul.
“Saya sudah bincang dengan beberapa peguam dan jika ini pegangan FAM, saya rasa
mereka tak profesional,” katanya yang berasa bertanggungjawab untuk menegur FAM
kerana kerajaan negeri membiayai sebahagian besar kos Terengganu dan T-Team
bertanding dalam Liga M.
Beliau berkata demikian
ketika ditemui pada sidang media Majlis Penyampaian Insentif Skim Hadiah
Kemenangan Sukan Sea dan Para Asean 2011 untuk atlet Terengganu di Wisma Darul
Iman, semalam.
Ahmad mengulas tindakan FAM yang tidak membenarkan dua pemain import Terengganu
diturunkan atas alasan pendaftaran dibuat lewat dari tarikh ditetapkan pada 8
Disember tahun lalu sedangkan pekeliling dikeluarkan FAM menyatakan Terengganu
boleh mendaftar pemain import mereka selewat-lewatnya pada 9 Januari lalu.
Dua pemain import
terbabit ialah Francis Doe Forkey dari Liberia yang beraksi sebagai penyerang
dan pemain tengah, Erison Da Silva Santos Carnietto
dari Brazil.
Akibat tindakan FAM itu, Terengganu tidak dapat menurunkan pemain import hingga
pintu pendaftaran dibuka semula pada April ini dan kini skuad Penyu bergantung
sepenuhnya kepada khidmat pemain tempatan untuk membawa cabaran dalam Liga
Super yang turut menyaksikan mereka tewas 0-1 kepada Perak dalam perlawanan di
Ipoh, kelmarin. Ahmad berkata, FAM tidak rugi jika tidak membenarkan kedua-dua
pemain itu beraksi, sebaliknya kerajaan negeri dan Persatuan Bola Sepak Negeri
Terengganu yang rugi kerana sudah mengeluarkan bayaran untuk mereka.
“Sebab itu bola sepak Malaysia tidak berkembang kerana ada pegawai yang
berperangai macam tu, bermain politik dan sebagainya.
“Cuba tengok bola sepak luar negara yang lebih bersifat terbuka. FAM mendakwa
bersikap profesional tapi sebenarnya, tidak.
“Apa hendak dibimbangkan jika dua pemain import bermain dalam Liga M sebab
bukannya ambil Thierry Henry atau Lionel Messi hingga menyebabkan pasukan
negeri lain merungut kerana takut.
“Kami akan minta pasukan Terengganu dan T-Team tarik diri kecuali mereka
mempunyai duit sendiri untuk meneruskan permainan serta tidak perlu bantuan
kerajaan negeri.
“Jika tarik diri, kita boleh bermain di mana-mana pun, di daerah-daerah untuk
pertunjukan, sebab gaji pemain sudah dibayar,” katanya.
Sumber:Harian Metro 12/01/12