Saluran 13 (saluran tambahan untuk 1000 pendengar)
KUALA TERENGGANU - Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, yang menjadi gelanggang utama bagi pertandingan bola sepak di negeri ini, dinaik taraf oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi persiapan pra musim Liga Malaysia 2012.
Pengarah Korporat Kemasyarakatan dan Kualiti MBKT Mohd Huzairi Nizam Ibrahim berkata kerajaan negeri memberikan peruntukan sebanyak RM600,000 untuk tujuan tersebut.
"Apabila siap dinaik taraf dan baik pulih nanti, stadium mampu memberi lebih banyak keselesaan kepada pemain dan juga penonton terutamanya dari segi keselamatan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Menurut Mohd Huzairi pengubasaian stadium yang berusia hampir 30 tahun itu antaranya menambah baik pencahayaan lampu limpah, menaik taraf bilik persalinan pengadil, lorong keluar pemain dan bilik wartawan.
Beliau berkata bagaimanpun tempat duduk penonton tidak diusik dan kekal sepertimana biasa dan kerja-kerja tersebut dijadual siap sebelum pra musim bermula tahun depan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata stadium itu akan digunakan bagi pertandingan bola sepak Piala AFC yang melibatkan pasukan Terengganu tahun depan.
Katanya untuk menjayakan pertandingan itu, stadium itu perlu diperbaiki bagi disesuaikan dengan kejohanan bertaraf antarabangsa itu termasuk kecahayaan lampu limpahnya.
"Ikut piawaian AFC, kecahayaan lampu limpah 1,400 lux sedangkan kecahayaan lampu limpah di stadium itu adalah 800 lux," katanya.
Sumber:Bernama 21/11/11
KUALA TERENGGANU: Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh) pada Sabtu menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000 setiap seorang kepada skuad Terengganu yang berjaya merangkul Piala FA musim ini.
Setiausahanya Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata seramai 23 pemain menerima sumbangan tersebut dan kelab penyokong itu merupakan pertama di negara ini memberi insentif seperti itu.
"Ini sebagai satu penghargaan serta menunaikan janji kelab kepada pemain sekiranya Terengganu juara kejohanan itu," katanya, sambil menjelaskan sumbangan insentif itu mungkin diberikan sekiranya Terengganu muncul juara Piala Malaysia musim ini.
Terengganu mengalahkan Kelantan 2-1 pada perlawanan akhir Piala FA tahun ini.
Dalam pada itu, Wan Mohd Azmi meminta penyokong Terengganu dan Kelantan menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi semasa menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara kedua pasukan itu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, Isnin ini.
Sumber :BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan menaikkan harga tiket bagi perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia antara Terengganu menentang Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah di sini Isnin ini.
Setiausaha PBSNT, Abdullah Salleh berkata harganya ialah RM15 untuk tempat duduk terbuka dan RM25 untuk tempat duduk berbumbung berbanding masing-masing RM10 dan RM20 sebelum ini.
Harga tiket bagi tahun depan akan dibincangkan kemudian, katanya kepada Bernama.
Beliau berkata tiket bagi perlawanan separuh akhir juga akan dinaikkan, sekiranya Terengganu layak.
"Kenaikan harga itu diambil pada mesyurat eksekutif PBSNT semalam. PBSNT berpendapat kenaikan harga itu tidak membebankan peminat kerana inilah pertama kali PBSNT menaikkan harga tiket. "Lagipun negeri-negeri lain telah menaikkan harga tiket masing-masing, kecuali Terengganu yang masih mengekalkan harga RM10 dan RM20," katanya.
Abdullah berkata mesyuarat itu juga mengambil keputusan akan mula menjual tiket perlawanan Isnin ini pada pagi Ahad di semua pintu masuk stadium bagi mengelak kesesakan.
Katanya 10 peratus tiket akan disediakan kepada peminat Kelantan.
Beliau berkata satu lagi mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat bagi membicangkan langkah-langkah keselamatan semasa perlawanan itu.
"Kita minta sungguh-sungguh supaya peminat mematuhi arahan dan tidak membawa masuk sebarang objek ke dalam stadium bagi mengelak persatuan dihukum.
"Yang penting kita mahu lihat satu perlawanan yang berkualiti dan hebat daripada kedua-dua pasukan," katanya.
Sumber berita-BERNAMA






