Saluran 13 (saluran tambahan untuk 1000 pendengar)
PEMAIN Zambia, Sashi Chalwe adalah pemain pertama diuji pasukan T-Team, dalam rangka pengisian pemain import bagi menghadapi Liga Malaysia 2012.
Jurulatihnya, Yunus Alif berkata, T-Team juga akan menguji pemain Argentina, Cameroon dan Brazil dalam usaha mencari pemain import terbaik.
“Kita akan menguji pemain import ini supaya benar-benar dapat pemain berkualiti dan baik,” katanya.
Mengenai pemain Zambia itu, Yunus berkata, beliau sukar menilai prestasinya kerana pemain itu baru tiba di sini dua hari lalu dan baru diuji semalam.
Katanya, T-Team bakal mengatur perlawanan persahabatan dengan Terengganu bagi ujian itu.
SUMBER:SinarHarian Online 18/11/2011
KUALA TERENGGANU - Jurulatih baru Terengganu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2012, Mat Zan Mat Aris menyasarkan sekurang-kurangnya satu piala akan dimenangi Terengganu tahun depan.
Ini kerana, menurut Mat Zan yang pernah membimbing dan membawa Terengganu menjulang Piala Malaysia 2001, pasukan itu mempunyai barisan pemain yang hampir serupa 2001.
"Dengan barisan pemain yang ada serta komitmen pegawai-pegawai, saya rasa kita mampu membawa pulang Piala Malaysia tahun depan," kata bekas jurulatih Kuala Lumpur itu kepada pemberita di sini.
Tahun ini, Terengganu gagal menjulang Piala Malaysia setelah kalah 1-2 kepada Negeri Sembilan dalam pertandingan akhir di Shah Alam, Selangor.
Menurut Mat Zan, dalam masa yang sama tumpuan juga akan diberikan untuk membawa pulang piala-piala yang lain yang dipertandingkan di liga tersebut.
Katanya beliau menggalas tanggungjawab yang besar untuk memastikan pasukan Terengganu terus mengekalkan kecemerlangan dan tugas itu bertambah mencabar apabila pemain import dibenarkan beraksi pada tahun depan.
"Saya tidak menafikan ini satu tekanan tetapi sebagai jurulatih kita akan terima," tegas beliau.
Mat Zan berkata beliau yakin pasukan Terengganu tahun depan akan bertambah mantap dan cemerlang dengan adanya pemain-pemain import yang berkualiti dan hebat.
Beliau berkata Terengganu akan menggunakan pemain import bagi memantapkan lagi jentera barisan tengah dan serangan di samping pemain-pemain tempatan.
Pasukan Terengganu sepatutnya memulakan latihan di padang Sekolah Menengah Sultan Sulaiman Batu Buruk di sini semalam tetapi ditunda kerana hujan.
Sumber:SinarHarian Online 16/11/11
WALAUPUN berat menerima keputusan pengunduran jurulatih, Irfan Bakti bersama pasukan Terengganu musim depan, namun Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akur dengan keputusan dibuat itu lapor, ZUBIR SULAIMAN.
Persoalan siapa yang akan mengantikan Ketua Jurulatih Bola Sepak Terengganu kini terjawab setelah Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh telah memutuskan bekas jurulatih pasukan Terengganu 2001, Mat Zan Mat Aris bakal menggantikan tempat itu.
Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah Irfan Bakti Abu Salim membuat keputusan muktamad untuk mengundur diri dan enggan menyambung kontraknya bersama Terengganu untuk musim depan.
“Pihak persatuan tiada hasrat untuk membuang jurulatih yang banyak membawa kegemilangan pasukan Terengganu, namun keputusan itu telah dibuat oleh beliau sendiri.
“Pertukaran jurulatih adalah perkara biasa,saya mengakui perkhidmatan ditunjukkan beliau amat membanggakan sehingga mampu membawa Terengganu muncul juara FA, naib juara Liga Super dan tempat kedua Piala Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan pemain dan jurulatih di pejabat PBSNT di sini, semalam.
Dalam pada itu, Che Mat berkata, berhubung jurulatih baru itu pihaknya telah mendapatkan jawapan daripada jurulatih itu namun belum secara rasmi dan perbincangan selanjutnya akan diputuskan Khamis ini.
Sumber:SinarHarian 31/10/2011
TEKA-TEKI berhubung masa depan Irfan Bakti Abu Salim bersama pasukan Terengganu terjawab. Semalam, jurulatih kelahiran Kelantan itu telah mengesahkan tidak akan menyambung kontraknya bersama skuad Penyu yang bakal berakhir hujung bulan depan lapor, ZUBIR SULAIMAN
Beliau akhirnya membuat keputusan untuk mengundur diri daripada pasukan itu secara professional setelah lebih dua tahun menabur bakti untuk pasukan Terengganu sehingga berjaya membawa skuad Penyu membawa pulang Piala FA, naib johan Liga Super dan Piala Malaysia 2011.
“Saya mengambil keputusan untuk mengundur diri dan tidak menyambung kontrak yang akan berakhir 30 November depan setelah berbincang dengan pihak pengurusan.
“Buat masa ini saya akan cuba cari pasu-kan baru yang inginkan khidmat saya. Tawaran itu memang banyak, bagaimapun saya harus teliti terlebih dahulu sebab saya sukakan cabaran.
Insya-Allah, dalam masa sehari dua lagi saya akan tentukan hala tuju saya,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui di pekarangan pejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) di sini, semalam.
Jurulatih yang berpengalaman lebih 15 tahun itu mula membimbing pasukan Terengganu pada 2009 setelah diberi peluang mengendalikan kelab Indonesia, Persipura selama satu musim.
Bagaimanapun, Irfan menafikan bahawa pengundurannya berpunca daripada pergeseran atau rasa tidak puas hati terhadap PBSNT.
Menurutnya, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan pihak persatuan malah mereka (PBSNT) membayar gaji serta bonus tepat pada masanya.
“Saya meninggalkan Terengganu kerana sudah dua tahun saya di sini dan saya rasa cukuplah dua tahun itu. Saya akan cuba cari`team’ baru selepas ini
“Justeru saya berharap agar pengganti saya nanti dapat memanfaatkan sepenuhnya kelebihan yang dimiliki oleh pasukan Terengganu ketika ini,” katanya.
Sumber:SinarHarian 31/10/2011

Perkara itu terbukti dengan pelbagai kejayaan yang diraih sepanjang tahun ini antaranya Juara Piala FA, Naib Juara Liga Super dan kini sedang berentap hebat bagi memburu kejuaraan dalam piala paling berprestij di negara ini.
Malah, kehebatan Terengganu menyekat kemaraan seteru utamanya iaitu Kelantan dalam pusingan suku akhir Piala Malaysia 2011 Jumaat lalu, cukup memberi isyarat jelas bahawa aksi garang skuad kendalian Irfan Bakti itu sukar untuk ditewaskan.
Justeru, tanpa kehadiran pasukan The Red Warriors yang sebelum ini ‘diangkat’ sebagai pasukan pilihan untuk menjulang Piala Malaysia 2011 berdasarkan aksi konsisten dalam cabaran sebelum ini telah membuka laluan mudah bagi Terengganu untuk berentap dalam perlawanan akhir yang dijadualkan hujung bulan ini.
:Bagaimanapun, Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, tidak mahu barisan pemainnya mudah duduk selesa, sebaliknya perlu menghabiskan perlawanan Separuh Akhir bertemu Selangor malam esok terlebih dahulu.
:Katanya, mes- kipun berdasarkan sejarah sebelum ini menyebelahi Terengganu, namun itu tidak bermakna Skuad Penyu harus memandang mudah, sebaliknya perlu sentiasa fokus dalam perlawanan bakal dihadapi nanti.
“Meskipun di atas kertas Terengganu mempunyai kelebihan, namun kita perlu ingat Selangor bukan calang-calang pasukan kerana mereka mengetahui corak permainan kita.
:“Sehubungan itu, kita akan memastikan semua pemain kita bakal turun beraksi akan memberikan sepenuhnya tumpuan terhadap perlawanan bagi memastikan Terengganu mampu melangkah lebih selesa ke peringkat seterusnya nanti,” katanya ketika ditemui selepas menjalani latihan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, kelmarin.
Sementara itu, Irfan Bakti turut tidak menolak kemungki-nan untuk menggunakan formula pasukan T-Team sebagai persediaan menentang Selangor dalam perlawanan separuh akhir pertama di Shah Alam, esok.
“Saya akan berhubung dengan Yunus Alif (ketua jurulatih T-Team) dan rakan saya di Perak untuk membuat percaturan serta mengubah corak perlawanan penting bertemu The Red Giant malam lusa (esok),” katanya.
Ketika ditanya percaturan pemain yang akan diletakkan dalam perlawanan penting malam ini, beliau akan memasukkan kembali dua tonggak utama yang direhatkan dalam perlawanan bertemu Kelantan Jumaat lalu setelah dikenakan kad merah iaitu Mohd Zubir Azmi dan Ismail Faruqi Asha’ari.
Tambah Irfan lagi, dengan prestasi terbaik yang ditunjukkan barisan pemainnya, beliau optimis skuad kendaliannya itu mampu melakukan sesuatu di perlawanan akhir nanti, sekali gus menafikan andaian pengalisis sukan yang meletakkan Kelantan sebagai pilihan sebelum ini.
Namun, dalam nada rendah diri, beliau mengakui Kelantan merupakan pasukan yang baik, tetapi harus juga diakui bahawa Skuad Penyu kini berada dalam tahap terbaik untuk menjulang piala paling berprestij di Malaysia itu.
Manaf teruskan perjuangan
Meskipun masih berperang dengan kesedihan atas kehila-ngan bapa tercinta, namun penyerang berbisa Terengganu, Abdul Manaf Mamat perlu meneruskan perjuangan untuk membantu pasukannya bagi merebut kejuaraan dalam kempen Piala Malaysia musim ini.
“Pihak pengurusan tidak memaksa saya untuk bermain dan menyerahkan kepada saya untuk membuat pilihan sama ada mampu untuk bermain atau sebaliknya. Tetapi dengan semangat diberikan adik-beradik dan ahli keluarga, saya perlu meneruskan perjuangan.
“Bagaimanapun, saya tidak mampu menafikan kesedihan masih lagi menebal dalam diri saya atas pemergian arwah ayah, namun segala sokongan dan semangat yang diberikan arwah (ayah) sepanjang saya terlibat dunia bola sepak akan tetap saya pegang sampai bila-bila,” katanya.
Menurut Manaf, beliau berazam untuk membantu pasukannya memberikan aksi terbaik sepanjang perlawanan yang bakal ditempuhi sebagai tanda penghargaan kepada penyokong yang begitu setia dengan pasukan Penyu ini.
Sumber:Sinar Harian
Pertemuan dua seteru utama itu, menyaksikan lima kad merah dan 10 kad kuning dikenakan kepada pemain kedua-dua pasukan.
Kehadiran ribuan penyokong kedua-dua pasukan seolah-olah mengulangi perlawanan akhir Piala FA musim lalu, meskipun perlawanan baru melangkah ke perlawanan suku akhir pertama.
Memulakan babak pertama perlawanan, kedua-dua pasukan beraksi agresif apabila saling menggandakan asakan ke pintu gol lawan masing-masing.
Pemain tambatan Terengganu, Joseph Kalang Tie, hampir menghadiahkan gol awal kepada tuan rumah, namun rembatan derasnya dalam kotak penalti pada minit ke-10 sekadar melewati palang gol.
Gawang gol pelawat sekali lagi teruji apabila Abdul Manaf Mamat hampir memberi gol, namun rembatan lemah pada minit ke-29 dalam kawasan kotak penalti berjaya disambut kemas Khairul Fahmi Che Mat.
Aksi dengan sembilan pemain
Pemain pasukan pelawat, Mohd Shakir Shaari menjadi pemain pertama yang diarah keluar padang setelah mengasari pemain Terengganu pada minit 31.
Selang tiga minit selepas itu, pasukan pelawat sekali lagi diuji apabila Mohd Daudsu Jamaluddin dikenakan kad merah, di mana menyaksikan pasukan The Red Warriors terpaksa bermain dengan sembilan pemain.
Kelantan yang ternyata tidak menunjukkan aksi tempang, walaupun terpaksa bermain dengan sembilan pemain, apabila terus melakukan beberapa percubaan berbahaya di kawasan gol pasukan tuan rumah.
Ismail Faruqi ternyata bijak memanfaatkan peluang apabila hantaran kemas Abdul Manaf Mamat berjaya ditolak kemas ke pintu gol pelawat pada minit ke-43.
Aksi panas kedua-dua pasukan terus berlarutan apabila Ismail Faruqi Asha’ari dikenakan kad merah setelah menolak Norshahrul Idlan Talaha pada masa kecederaan. Keputusan itu kekal hingga ke minit terakhir separuh masa pertama.
Memulakan babak kedua, pasukan pelawat yang nyata tertekan, cuba menggandakan asakan dengan melakukan beberapa percubaan berbahaya, namun tersasar jauh dari pintu gawang, namun Kelantan akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan apabila berjaya menghasilkan gol menerusi tendangan penalti pada minit ke-78 yang diambil ketua pasukan, Mohd Badri Radzi.
Tersentak dengan jaringan penyamaan itu, tuan rumah menggandakan asakan dan hasilnya Abdul Manaf Mamat berjaya menambah jaringan tuan rumah apabila sepakan penalti pada minit ke-88 terus meluru masuk ke pintu gol.
Kepten Terengganu, Mohd Marzuki Yusof menambah derita pasukan pelawat, apabila menghasilkan gol ketiga tuan rumah pada masa kecederaan.
Terengganu melangkah selesa untuk aksi kedua timbal balik di Kelantan 14 Oktober ini.
Sumber:Sinarharian






