KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri memberi jaminan bahawa keseluruhan struktur Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak masih selamat digunakan, berdasarkan kajian awal yang dilakukan.
Ia sekali gus menafikan desas-desus yang menyatakan stadium itu tidak selamat untuk digunakan lagi dan akan diruntuhkan keseluru-hannya selepas pilihan raya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib berkata, berdasarkan kajian awal menunjukkan sub-struktur, asas dan struktur stadium itu masih dalam keadaan baik.
Malah katanya, kerajaan kini sedang memberi tumpuan kepada usaha membaiki bumbung dan kajian juga meliputi ‘grandstand’ serta sebahagian bumbung yang tidak runtuh.
“Selepas kajian awam dibuat, tindakan susulan yang diambil adalah membersihkan sisa runtuhan stadium itu sebelum Tetuan Khairi Consult dilantik Kerajaan Negeri membuat kajian mengenai integriti pada struktur.
“Antara skop kerja yang dibuat oleh syarikat itu ialah kajian integriti, sama ada struktur itu boleh digunakan atau tidak dan menasihati Kerajaan Negeri mengenai reka bentuk bumbung serta cara pembaikan,” katanya.
Menurutnya, kajian itu sepatutnya siap lebih awal tetapi tarikh baru yang ditetapkan ialah 15 Disember ini dan akan diserahkan untuk tindakan susulan.
Tetapi katanya, dari segi dapatan awal yang diperoleh, asas sub-struktur stadium di peringkat bawah dan atas masih boleh digunakan dan tumpuan kini pembaikan bumbung agar tidak membebankan struktur yang ada.
“Jadi, kita akan buat struktur rekabentuk yang tidak akan membebankan struktur sedia ada. Setakat ini, konsultan masih belum menyerahkan kajian, tetapi kita harap stadium ini dapat disiapkan secepat mungkin.
“Malah, kita ambil inisiatif dengan meminta JKR membersihkan dan menyiapkan padang dan supaya ia boleh digunakan. Kita faham dalam situasi sekarang, pembangkang cuba bagi bayangan yang bukan-bukan, tetapi ada prosedur yang perlu kita turuti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Mohd Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) mengenai desas-desus yang menyatakan keseluruhan stadium itu akan diruntuhkan selepas pilihan raya.
Sebelum itu, Za’abar menjawab soalan yang dikemukakan oleh Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-batu Burok) mengenai kelewatan pembaikan stadium itu dan bila ia akan dapat digunakan semula.
Menurut Za’abar, kos keseluruhan pembinaan stadium itu RM288 juta, daripada jumlah itu, RM35 juta adalah bagi bumbung, iaitu meliputi 10 peratus daripada kos keseluruhan.
“Kejadian runtuhan ini, terutama ketika Terengganu cemerlang dalam bidang sukan bola sepak, tentunya memerlukan stadium besar untuk menampung penonton yang ramai,” katanya.
Sumber:SinarOnline 8/12/2011
0 ulasan