PASUKAN berstatus kelab, T-Team kini sedang menguji empat pemain
import termasuk seorang bekas pemain kelab Nantes dan Metz dalam Liga 2
Perancis dalam misi menggantikan posisi yang ditinggalkan Zacharia
Simukonda.
Jurulatih T-Team, Yunus Alif berkata, tiga daripada pemain itu iaitu
Jamie Pheonix dari England, Umaru Mustapha Suna (Siera Leone) dan Goran
Kuljilas (Bosnia) telah tiba ke negeri ini sejak tiga hari lalu dan
telah turun dalam dua siri pemilihan.
Katanya, Tenema Ndiaye pula yang berasal dari Mali dan merupakan
bekas pemain Nantes dan Mets baru tiba kelmarin dan membuat penampilan
pertama pada sesi latihan petang semalam.
"T-Team memang memerlukan seorang pemain penyerang bagi menggantikan
tempat Sumikonda yang secara rasmi telah menamatkan kontrak dengan
pasukan atas faktor kecederaan.
"Jadi, kita telah menguji empat pemain setakat ini dan andai pihak
pengurusan berpuas hati maka kita akan daftarkan salah seorang daripada
mereka sebelum tarikh turut pendaftaran pada 13 Februari ini," kata
Yunus kepada
Kosmo! semalam.
Mengenai barisan pemain import yang diuji, Yunus mengakui salah
seorang daripada mereka iaitu Pheonix mempunyai pengalaman beraksi dalam
Liga Malaysia apabila pernah menyarung jersi Sabah pada 2007.
"Buat masa ini, saya masih belum melihat pemain mana yang layak untuk
beraksi bersama kami kerana masing-masing belum menunjukkan kemampuan
sebenarnya ekoran kepenatan.
"Kami akan beri masa kepada mereka dalam dua atau tiga lagi siri
latihan dan perlawanan sebelum memutuskan pemain mana yang akan bermain
bersama T-Team," jelasnya.
Bagaimanapun, Yunus mengakui Ndiaye yang kini berusia 30 tahun
mempunyai rekod pencapaian yang lebih baik berbanding tiga lagi pemain
yang lain.
Selain pernah bermain untuk kelab Nantes dan Metz di Perancis, Ndiaye
juga merupakan bekas pemain yang menganggotai skuad remaja Mali yang
muncul tempat ketiga pada Kejohanan Piala Dunia Remaja tahun 1999.
"Kalau semua berjalan lancar, kita mungkin akan daftarkan nama
seorang daripada empat pemain ini dalam tempoh tiga atau empat hari lagi
dan kemungkinan pemain itu boleh beraksi pada perlawanan menentang
Negeri Sembilan Rabu depan," jelasnya.
Mengenai nasib Simukonda, beliau memberitahu pemain itu telah bertemu pihak pengurusan dan telah berbincang mengenai kontraknya.
"Dia adalah pemain yang profesional dan dia tahu masalah yang
dihadapinya mampu menjejaskan prestasi pasukan. Jadi, kita telah membuat
keputusan 'menang-menang' dan menamatkan kontraknya," katanya.
SUMBER:KOSMO 6/2/12