SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad menyarankan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) segera menghantar surat kepada FAM sekiranya benar mereka mahu menarik penyertaan Terengganu dan T-Team dari Liga Malaysia (Liga M) musim ini. Enggan melayan dan memberi sebarang maklum balas mengenai kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang dianggap tidak berhak mengeluarkan sebarang kenyataan, Azzuddin menyerahkan perkara tersebut kepada PBSNT untuk membuat keputusan. “Jika benar mereka mahu menarik diri dari Liga M, kemukakan surat kepada kami agar perkara tersebut dapat diusulkan kepada Ahli Jawatankuasa FAM yang lain. Kami akan bersama-sama meneliti permintaan tersebut sekiranya itu yang mereka mahukan kerana FAM mempunyai peraturan yang perlu mereka patuhi,” katanya kepada Sinar Harian semalam. Semalam akhbar ini melaporkan, Ahmad Said mengecam tindakan FAM kerana tidak membenarkan Terengganu mendaftarkan dua tonggak importnya beraksi, dan memberikan tiga pilihan kepada FAM sama ada membenarkan dua pemain import bermain atau kedua, Kerajaan Negeri akan ambil tindakan undang-undang terhadap FAM berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan dan ketiga, membayar ganti rugi kontrak dua pemain tersebut. Sementara itu, ketika ditanya mengenai kesan yang mungkin dihadapi oleh kancah bola sepak negara sekiranya Terengganu dan T-Team benar-benar menarik diri dari Liga M, Azzuddin tidak mahu memberikan sebarang komen. “Selagi perkara tersebut belum berlaku, tiada apa yang perlu diulas,” katanya. Tidak mahu isu kesilapan surat pekeliling FAM yang dihantar kepada PBSNT terus diperbesarkan oleh pelbagai pihak, Azzuddin mahu persatuan itu segera datang ke FAM untuk menyelesaikannya mengikut prosedur yang betul. “FAM bukan hanya diterajui oleh saya mahupun Naib Presiden, Datuk Hamidin Mohd Amin. Sebaliknya kami mempunyai ramai lagi ahli jawatankuasa lain yang turut memainkan peranan dalam membuat keputusan. Oleh itu, mereka perlu faham, undang-undang FAM bukan boleh diubah dengan sesuka hati walaupun ianya tidak terikat dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa),” katanya. Sumber:SinarHarian 13/01/2012
Saluran 13 (saluran tambahan untuk 1000 pendengar)
JIKA TIDAK DAPAT MENDENGAR SILA KE SINI:
Azzuddin Saran PBNST Hantar Surat Jika Benar Mahu Tarik Diri
by:sebetulnya
Catatan
Jumaat, 13 Januari 2012
0 ulasan